Saturday 12 March 2016

Tun Dr. Mahathir keluar UMNO, tiada ahli yang mengikutnya? Biar betul..


Pimpinan UMNO peringkat atasan dari PM, TPM, pak-pak menteri dan ketua-ketua sayap dan penjilat tegar dengan bongkak dan lantang mengatakan UMNO tidak akan terjejas dengan keluarnya Tun Dr Mahathir dari UMNO kerana hanya segelintir ahli sahaja yang akan mengikutinya. Langsung tidak akan berbekas kata mereka, sambil mengutuk dan menghina TDM dengan pelbagai gelaran dan kata nista seperti  orang tua nyanyuk, pengkhianat, kuku besi, penipu, diperkudakan pembangkang, bodoh, punyai agenda jahat, gopoh,  buang tabiat nak mampus dah, gila kuasa dan sebagainya. Deklarasi Rakyat yang baru ditandatangani oleh hampir 50 tokoh politik dan NGO utama baru-baru ini pun diperlekehkan dan dipersendakan  mereka ini.

 Terbaru, jawatan TDM sebagai penasihat Petronas pun dilucutkan kerana sakit hati yang tidak tertanggung lagi. Namun mereka langsung gagal menjawab segala macam tuduhan curang oleh pelbagai pihak terutama sekali oleh  akhbar Wall Street Journal dari Amerika syarikat (jauh sekali menyaman balik) dan melegakan kegelisahan  rakyat baik penyokong pembangkang mahupun kerajaan yang dikepalai oleh TDM, TS Muhyiddin, DS Shafie Afdzal dan DS Mukhriz mengenai keonaran serta kepincangan 1MDB dan isu  wang 'derma' 2,600 juta + 42 juta dari ' tok arab' dan SRC International yang 'termasuk' ke dalam akaun peribadi PM , dengan secara  telus dan ikhlas. Jawapan oleh  para macai PM bercelaru dan tidak konsisten sesama sendiri menjadikan  mereka digelak seperti badut sarkas ataupun raja lawak bodoh antarabangsa.

Tindak-tanduk PM dan para penjilatnya dalam menangani isu-isu ini sangat pelik,hodoh dan tidak masuk akal yang waras. Kelam-kabut dinyahkan pengkritik-pengkritik besar beliau dan diperdajalkan institusi-institusi penguatkuasaan kerajaan seperti PDRM, Pejabat Peguam Negara, PAC, Bank Negara, MACC dan banyak lagi demi menutup kemungkaran yang berlaku. Pemecatan dan penukaran serta-merta pegawai kerajaan dilakukan sewenang-wenangnya dan perlakuan mengertak dan memberi tekanan terhadap pengkritik  menjadi amalan - senario yang tidak pernah  dilakukan pada skala ini oleh mana-mana bekas Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Hari ini  pakcik, makcik, abang, adik, kakak malah anak-anak sekolah rendah yang masih berhingus  di kampung pun ramai yang sudah baca, dengar dan tahu apa itu 1MDB, 'derma' ribuan juta tok arab serta cerita PM dan bini yang suka berjoli sakan naik jet kerajaan silih berganti kesana kemari, namun bab geram dan keluar UMNO ini, ramai juga yang tidak faham bagaimana maksud keluar dari parti keramat UMNO ini, ikut Tun Dr Mahathir.. Ramai di kalangan akar-umbi kurang arif bab politik dan mudah diklentong oleh politikus apa parti pun dengan pelbagai taktik. Mereka tidak kisah bab keluar pasti rasmi atau tidak. Macamana nak keluar parti? Kena repotkah?perlu suratkah? Susah dan leceh kalau nak bersurat menyurat, sebab itu di cawangan aku saja ahli dalam senarai ada lebih 200  tetapi cuma tinggal 40-50 orang saja ahli aktif, yang lain dah lama lupakan UMNO! Tak perlu surat, repot dan sidang media pun.

 Bila dah kecewa, mereka keluar parti dalam hati sajalah, diam-diam tanpa ada sidang media macam orang PKR dan PAS buat,  kecoh satu kampung. Mana perlu deklarasi keluar parti untuk akar umbi. Jika hendak tulis surat keluar UMNO pun bukan tahu caranya. . Pakcik, makcik jika tulis surat bertulisan  jawi nanti budak pejabat UMNO tak faham dan terus tak layan.. he.. he.. Lagipun mereka  tak suka kecoh-kecoh dan sesetengah tu takut kena soal jawap dengan tok-tok ketua UMNO pemakan dedak tegar. Itulah pasal tak ramai orang ikut TDM keluar parti secara rasmi. Rasmi tu hanya untuk orang ternama dan berjawatan. Tak gitu?

 Aku pun sama..  Dah lama  tawar hati pada UMNO ni walaupun  pernah memegang jawatan di peringkat cawangan (KP) dan  bahagian(AJKP) dan taatsetia mengundi  BN. Dulu aku rasa kalau tak mengundi BN itu satu pengkhianatan kepada bangsa. Begitu juga semua ahli keluarga aku. Kini perasaan itu telah lenyap setelah dua PM bertukar ganti. Nanti bila PRU 14 aku pasti akan ada kesannya. UMNO perlu diajar. Akar umbi tidak pernah menghianati perjuangan tetapi pemimpin yang selalu lupa daratan!


Selamat Tinggal UMNO!